Showing posts with label Refleksi Mingguan. Show all posts
Showing posts with label Refleksi Mingguan. Show all posts

Monday, 30 May 2016

REFLEKSI MINGGUAN (MINGGU 12)

NABI MUHAMMAD SAW RAHMAT SEKALIAN ALAM

Nama: Ummi Sahira Binti Abd Halim
No Pelajar: 2015209636


Alhamdulillah, syukur kehadrat Allah akhirnya telah sampai ke tajuk terakhir pembelajaran CTU 555, Sejarah Malaysia iaitu Nabi Muhammad SAW Rahmat Sekalian Alam. Walaupun tajuk ini tidak dilengkapkan dalam silibus, penting untuk kita semua mengetahui kisah hidup dan sirah baginda. Sebagai umat Islam, beriman kepada Rasullullah adalah salah satu rukun iman, jika tidak, tidak sempurnalah iman kita. Pada setiap kelas, ustazah sendiri telah mengingatkan kita supaya berselawat keatas baginda dan sedekahkan Al-Fatihah kepada junjuangan Nabi Muhammad supaya kita mendapat syafaat daripadanya. Kita umat akhir zaman, umat Rasullullah yang paling dirindui baginda. 

Melalu perkongsian yang telah diberikan olah para pembentang, saya telah mengetahui sedikit sebanyak kisah-kisah Nabi Muhammad yang sebegitu mulia sifatnya. Rasullullah mengambil peranan sebagai seorang ayah, seorang pemimpin dan seorang kekasih Allah yang begitu taat menyembah Allah. Kesemua peribadi Rasullullah membuatkan saya sendiri begitu terharu dan gembira untuk selalu berselawat keatas baginda. Mudah - mudahan menjadi impian kita semua untuk bertemu dengan Nabi Muhammad sendiri di syurga kelak.

Nama: Nur Iman Athira bt Mohd Amin
No. Pelajar: 2015259318

Melalui pembelajaran minggu ini, saya telah didedahkan dengan lebih banyak kisah-kisah Nabi yang sememangnya penuh dengan pengajaran. Perjuangan Nabi Muhammad SAW untuk umatnya haruslah disyukuri setiap umatnya. Adalah penting sebagai umat Rasulullah SAW untuk kita sentiasa mengingati Baginda yang sentiasa mendoakan umat Baginda. Setiap sifat Nabi hendaklah kita contohi bagi menjadi seorang hamba Allah SWT dan umat Rasulullah SAW yang cemerlang. 

Nama: Anisha Azreen binti Hasmizam
No. Pelajar: 2015229474

Alhamdulillah, kami telah tiba kepada tajuk terakhir CTU555 iaitu Nabi Muhammad SAW Rahmat Sekalian. Mempelajari tentang tajuk ini melalui pembentangan, saya memperoleh pengetahuan tentang kisah-kisah sirah baginda Rasulullah yang ada sebahagiannya tidak pernah saya dengar sebelum ini. Kisah-kisah ini telah menyentuh lubuk hati saya dan menyebabkan cinta saya kepada bagina semakin mendalam, kerana ternyata baginda merupakan insan yang terbaik - sebagai pemimpin dan juga sebagai seorang hamba Allah yang bertaqwa dan cukup tawaduq. Cinta baginda kepada Allah SWT dan ketegaran baginda menyampaikan ajaran Allah sangat memberi inspirasi kepada saya untuk meneruskan perjuangan dalam memastikan anak-anak generasi seterusnya memperoleh ilmu agar negara kita terus maju dan berwawasan. Terdetik rasa sebak di hati ketika kisah-kisah ini diceritakan di hadapan kelas, kerana cinta baginda yang cukup mendalam terhadap umat yang tidak pernah baginda temui, dan juga betapa ruginya kita kerana tidak dapat hidup di zaman baginda. Alangkah indah sekiranya dapat berjuang dan berada di samping baginda dan para sahabat, kerana bagindalah insan  yang paling ideal dan terbaik dan yang paling mencintai kita.

REFLEKSI MINGGUAN (MINGGU 11)

ISLAM DAN HUBUNGAN ETNIK

Nama: Ummi Sahira Binti Abd Halim
No Pelajar: 2015209636

Islam amat mementingkan nilai-nilai kemanusiaan kerana ia mencerminkan hubungan manusia dengan Allah. Islam telah menyenaraikan asas hubungan etnik yang lengkap supaya boleh menjadi rujukan umat manusia dalam mentadbir kehidupan di dunia ini.

Salah satu asas yang menarik perhatian saya ialah  Al-Ukhuwah. Istilah ini sering digunakan dalam konteks masyarakat Melayu pada masa kini, tetapi adakan kita mengaplikasikannya dalam kehidupan yang sebenar? Al-Ukhuwah bermaksud persaudaraan. Adakah konsep ukhuwah ini hanya boleh diamalkan sesama Muslim sahaja. Kadangkala pihak non-muslim menyalah anggap bahawa semua Islam itu dicop sebagai ekstremis kerana seluruh umat Islam mempunyai ikatan persaudaraan yang kuat dan berpegang pada prinsip menyembah Allah, tuhan yang Esa.

Nama: Nur Iman Athira bt Mohd Amin
No. Pelajar: 2015259318 

Konsep persaudaraan yang dibawa oleh Al-Ukhuwah haruslah diaplikasikan dalam kehidupan harian terutama oleh umat Islam. Namun begitu, konsep ini bukan sahaja antara umat Islam tetapi boleh juga diaplikasikan antara umat Islam dan non-Muslim kerana kita semua hidup di dalam satu negara. Konsep ini adalah penyatuan yang boleh dicapai melalui toleransi dan persefahaman yang baik terutama sekali dalam masyarakat majmuk. Setiap kaum sememangnya mempunyai pendapat dan fahaman masing-masing tetapi sensitiviti antara kaum juga haruslah dijaga bagi mengekalkan keamanan bersama.

Nama: Noor Azira Binti Noor Azman
No.Pelajar: 2015259246

Hubungan antara sesama manusia amatlah penting dan hal ini hendaklah dijaga kerana Allah SWT amat menitikberatkan hubungan persaudaraan antara masyarakat lain tidak kira berbeza agama dan bangsa. Sememangnya kita sebagai orang Islam hendaklah juga tidak mengasingkan diri dan bersikap mementingkan diri hanya kerana bangsa lain tidak memiliki pegangan agama yang sama. Setiap manusia hendaklah dilayan dengan baik. Bukan itu sahaja, adalah penting bagi masyarakat Islam itu sendiri untuk menzahirkan sikap yang bermoral dan disenangi semua orang. Janganlah kerana sikap sesetengah orang Islam yang membawa imej buruk menjadi imej seluruh masyarakat Islam di Malaysia.


Nama: Anisha Azreen binti Hasmizam
No. Pelajar: 2015229474

Tajuk kali ini banyak memberi kesedaran kepada saya tentang betapa pentingnya menjaga sensitiviti dalam kalangan masyarakat tanpa mengira agama mahupun etnik. Masyarakat merupakan suatu entiti yang bergerak bersama, dengan bahagian-bahagian yang berbeza yang membawa fungsi-fungsi berbeza. pPerbezaan etnik tidak seharusnya dilepas pandang begitu sahaja, sebaliknya harus diberi perhatian kerana perbezaan etnik membawa perbezaan budaya dan juga pendapat. Sekiranya saling memahami dan mengamalkan toleransi, perbezaan pendapat ini akan membawa banyak insentif kepada negara kerana terdapat minda-minda berbeza yang akan membawa tampuk pemerintahan ke arah kemajuan dan pemerintahan yang lebih baik dan efisien. Sebaliknya pula sekiranya toleransi tidak diamalkan, membawa kepada kekacauan dan pergaduhan yang boleh membantukan proses pembangunan negara dan mampu untuk membawa kehancuran ekonomi dan kemalangan nyawa.



REFLEKSI MINGGUAN (MINGGU 10)

SEGREGASI KE INTEGRASI

Nama: Ummi Sahira Binti Abd Halim
No Pelajar: 2015209636


Dalam bab ini, saya telah mempelajari apakah perbezaan antara segregasi dan integrasi. Segregasi bermaksud perpisahan antara kaum majoriti dan minoriti manakala integrasi bermaksud membawa minoriti dan majoriti untuk bersama-sama dalam pembangunan negara. Segregasi antara kaum berlaku pada zaman penjajah di mana kamu Melayu, Cina dan India dipisahkan atas dasar pecah dan perintah. Hal ini merenggangkan perpaduan dan kesefahaman antara kaum. Pelbagai kesan buruk boleh berlaku jika integrasi tidak dilakukan.

Integrasi tidak menghapuskan identiti, budaya, agama, kepercayaan, bahasa dan hak hidup majoriti ataupun minoriti masyarakat. Pelbagai pihak memainkan pernana untuk memupuk integrasi di Malaysia. Bukan sahaja badan kerajaan, malahan pihak NGO juga berperanan untuk memupuk semangat integrasi ini. Contoh pihak NGO yang menggalakkan perpaduan di Malaysia ialah kepemimpinan Majlis Belia Malysia. Di IPT juga banyak program telah dilakukan untuk memupuk integrasi antara kaum contohnya pesta tanglung aktiviti keluarga angkat dan subjuk Hubungan Etnik telah diajar dan menjadi subjek teras di setiap universiti.

Nama : Noor Azira Binti Noor Azman
No. Pelajar : 2015259246

Pada minggu ini, saya telah menpelajari dengan lebih mendalam tentang segregrasi dan integrasi. Sudah kita ketahui bahawa masyarakat Malaysia yang berbilang kaum ini pada ketika dahulu telah menghadapi suatu proses yang dijalankan oleh pihak penjajah dalam memecahkan perpaduan iaitu proses segregasi. Segregasi ialah perpisahan yang berlaku antara kaum majoriti dan minoriti. Pada zaman dahulu, masyarakat Melayu, India dan Cina telah dipisahkan atas dasar pecah perintah bagi memutuskan jurang perpaduan. Namun begitu, Malaysia kini adalah sebuah negara yang aman damai dan rakyat yang bertolak ansur di bawah pemerintahan yang sama.
Integrasi juga penting kerana ianya adalah proses penyesuaian di antara unsur-unsur yang saling berbeza dalam kehidupan masyarakat sehingga menghasilkan pola kehidupan masyarakat yang memilki keserasian fungsi. Pelbagai usaha telah dijalankan oleh pelbagai pihak dalam melakukan integrasi sebagai contoh badan kerajaan dan juga pihak NGO. Saya amat bersyukur kerana ada pihak yang masih menitik beratkan hal ini kerana sememangnya perpaduan itu memainkan peranan yang penting dalam memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang cemerlang.

Nama: Anisha Azreen binti Hasmizam
No. Pelajar: 2015229474

Setelah mendengar pembentangan daripada kumpulan Syahid, saya memperoleh lebih kefahaman tentang tajuk Segregasi dan Integrasi. Walaupun pembentangan mereka tidak menggunakan bantuan grafik, namun penerangan yang diberikan berkaitan dengan segregasi dan usaha-usaha ke arah integrasi dan perpaduan nasional sangat jelas. Pengetahuan saya lebih bertambah tentang badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang berusaha untuk memupuk integrasi nasional melalui pelbagai ruang dan sektor, seterusnya memastikan hasilnya secara lebih menyeluruh.Ini merupakan suatu kontras yang sangat berbeza dengan usaha para penjajah untuk melaksanakan segregasi ke atas kaum minoriti dan majoriti. Tersentuh di hati saya tatkala teringatkan bahawa tidak mustahil untuk segregasi berlaku kembali sekiranya perpaduan dalam kalangan warga Malaysia tidak dijaga dan disulam dengan baik, serta kedatangan anasir luar yang membawa agenda korup ke atas negara juga amat membimbangkan.

REFLEKSI MINGGUAN (MINGGU 9)

STRATEGI SURVIVAL MELAYU & BUMIPUTERA

Nama: Ummi Sahira Binti Abd Halim
No Pelajar: 2015209636


Kita telah menghampiri bulan Ramadan yang berkah dan kelas dimulakan dengan pelbagai perkongsian daripada ustazah tentang amalan - amalan yang perlu diperbanyakkan pada bulan Ramadan seperti membaca Al-Quran, bersedekah dan mengganti puasa puasa yang tertinggal. Saya mendapat banyak input yang berguna dan bersemangat untuk melalui bulan Ramadan di tempat baru.

Dalam tajuk ini, pelbagai isu-isu menarik yang telah dibincangkan terutamanya hal-hal yang berkenaan orang Melayu itu sendiri. Contohnya isu orang Melayu murtad, kes-kes bunuh diri, perceraian dan sebagainya. Perkara sebegini tidak mustahil dengan keadaan negara kita yang sedikit sebanyak telah mengikut cara hidup barat dan sewenang-wenangnya mengambil jalan mudah untuk mendapatkan penyelesaian atas masalah yang melanda. Apa yang telah saya pelajari ialah tidak kira susah mana sekalipun dugaan yang melanda diri, kembalilah pada yang satu Tuhan yang maha mengampun lagi maha mengasihani. Manusia selalu leka akan adanya Allah yang membantu kita dalam segala hal, berkat rahmatNya kita manusia Islam tidak dibiarkan begitu sahaja. Dugaan yang datang itu, adalah untuk menguji keimanan kita terhadap Allah dan nikmat yang Allah berikan itu juga merupakan satu ujian supaya kita tidak lupa diri dan ingkar kepadaNya.

Orang Melayu yang terlibat dalam gejala gejala negatif seperti yang telah dibincangkan sememangnya lupa akan identiti Melayu mereka sendiri. Seorang Melayu itu mestilah menggambarkan islamnya, sopan santunnya dan bijak dalam sesuatu tindakan. Melayu tidak sewenang-wenangnya bersikap ambil mudah, malas dan mengikut nafsu semata-mata.

Nama: Noor Azira Binti Noor Azman
No.Pelajar : 2015259246

Sempena Ramadhan yang bakal menjelang, Ustazah telah memulakan kelas dengan sedikit perkongsian berkenaan amalan-amalan yang boleh dilakukan sepanjang bulan Ramadhan. Dan bulan ini jugalah waktu bagi kita untuk memulakan sesuatu yang baik. Jika sebelum ini membaca Al-Quran bukanlah sesuatu yang dilakukan sebagai aktiviti harian, kita boleh membiasakan diri dengan memperbanyakkan melakukan amalan-amalan sunat bagi menambah berkat bulan Ramadhan yang mulia ini. Pelbagai perkongsian dibincangkan dan segala maklumat yang diperolehi sangatlah bermanfaat dan saya akan cuba untuk memperbanyakkan amalan-amalan di bulan ini. 
Manakala berkenaan bab yang dipelajari pada minggu ini, iaitu bab Strategi Survival Melayu dan Bumiputera amatlah membuka mata saya. Kami telah didedahkan dengan lebih terperinci akan kes kes yang amatlah memeranjatkan seperti kes murtad yang sebenarnya berlaku dgn jumlah yang agak tinggi berbanding dengan yang disiarkan di berita, turut serta kes pembuangan bayi dan penyalahgunaan dadah yang kebanyakkannya dilakukan oleh masyarakat Melayu sendiri. Hal ini agak membimbangkan dan mencetus kehairanan kerana kebanyakan masyarakat Melayu yang melakukan kesalahan seperti ini adalah mereka yang beragama Islam. Sebagai negara di mana Islam merupakan agama utama, pihak berkuasa atau ibu bapa seakan telah terlepas pandang dan hal ini menjadi satu persoalan ketika perbincangan di kelas iaitu "Adakah salah guru, ibu bapa atau individu itu sendiri?" kerana didikan diberi ketika di persekolahan namun nampaknya seperti menuang air ke daun keladi. Hal ini membuka mata saya agar sentiasa berhati hati agar tidak terjebak dengan kancah gejala sosial serta saya bertekad dalam menjadi seorang pendidik yang lebih komited dalam mendidik generasi muda akan datang.

Nama: Nur Iman Athira binti Mohd Amin
No. Pelajar: 2015259318

Dengan kehadiran bulan yang paling mulia iaitu bulan Ramadhan, kami sering diingatkan dan dipesan bahawa bulan mulia ini adalah bulan yang sempurna untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT. Bulan ini adalah bulan di mana setiap umat Islam berbuat ibadah dengan penuh penghayatan. Ibadah-ibadah ekstra seperti membaca Al-Quran, bersedekah, menunaikan solat tarawikh adalah contoh penghayatan umat Islam di bulan Ramadhan terutama sekali dalam mengejar Lailatur Qadr. Selain itu, kami juga telah mempelajari bab Survival Alam Melayu di mana kami mengkaji sejarah sejarah dan  berita terkini bangsa Melayu. Apa yang dipelajari ialah sifat Melayu pada masa dahulu yang bijaksana, kuat, bersifat cintakan negara yang kian hari kian merudum. Bangsa Melayu telah menjadi bangsa yang dominan dalam statistik seperti pembuangan bayi, kes murtad dan isu isu sosial yang lain. Sudah sampai masanya untuk bangsa Melayu bangkit dan mengenang kembali zaman-zaman kegemilangan bangsa tanah air ini.

Nama: Anisha Azreen binti Hasmizam
No. Pelajar: 2015229474

Kehadiran bulan Ramadan yang amat dinantikan oleh sekalian umat Islam membawa Ustazah untuk berkongsi dengan kami tenatnag amalan-amalan yang perlu kita tingkatkan ketika berada di bulan seribu rahmat ini. Ustazah mengingatkan kami tentang nikmat-nikmat bulan ramadan, dan pentingnya untuk kita berusaha ke arah maghfirah Allah dan mencari keberkatan di dalam bulan ini.

Perbincangan dan pembentangan tajuk ini memberi kesedaran kepada saya tentang masalah-masalah sosial orang Melayu yang masih tidak dapat dibendung sehingga kini seperti buang anak, zina dan perceraian. Masalah-masalah sosial sebegini, sekiranya berlanjutan boleh membawa kepada kejatuhan ummah dan kemunduran moral bangsa.

REFLEKSI MINGGUAN (MINGGU 8)

BAB 4: PEMBANGUNAN EKONOMI DI MALAYSIA

Nama: Ummi Sahira Binti Abd Halim
No. Pelajar: 2015209636


Dalam tajuk ini, saya dapat membezakan apakah fokus ekonomi dari segi pandangan Islam dan juga pandangan barat. Dari segi Islam, ekonomi memfokuskan kepada kemajuan modal insan dan nilai kemanusiaan di samping infrastruktur untuk kemudahan manusia. Dari segi pandangan barat pula, ekonomi merjuk kepada proses transformasi atau perubahan dalam segala aspek dan memfokuskan hanya kepada keduniaan semata. 

Salah satu kata yang dipetik amat berkait dengan isu ekonomi yang berlaku di negara kita pada hari ini. Di Malaysia itu sendiri, "kita telah bangunkan banyak bangunan-bangunan moden dan berinfrastruktur yang canggih tetapi hakikatnya, insan yang mendiami bangunan itu tidak dibangunkan". Isu-isu kemiskinan masih tidak dapat dibendung di Malaysia walaupun negara kita kaya dengan hasil bumi yang mewah. Jika kita mengikut dengan lurus dan sebenar-benar Islam itu, pasti ada jalan tengah untuk penyelesaian setiap masalah yang melanda di negara kita ini. Islama itu bukanlah agama yang hanya berasakan keakhiratan sahaja, pelbagai isu ekonomi akan dapat dibendung jika umat islam mengamalakna prinsip hidup isla yang sebenar. Sebagai contoh, membayar zakat, bersedekah kepada yang memerlukan dan mengamalkan urusan jual beli dengan bersih dan adil.

Nama: Nur Iman Athira bt Mohd Amin
No. Pelajar: 2015259318

Melalui bab ini berkenaan dengan ekonomi, saya telah dapat membezakan ekonomi dari sudut pandangan Islam dan juga Barat. Pembangunan ekonomi haruslah selari dengan pembangunan politik kerana orang yang menguasai politik menentukan hala tuju ekonomi sesebuah negara itu. Selain itu, pembangunan haruslah bukan sahaja berasaskan fizikal malahan juga pembangunan mental.

Nama: Noor Azira Binti Noor Azman
No. Pelajar: 2015259246

Melalui bab ini, saya telah memperolehi idea dan pengetahuan berkaitan pembangunan ekonomi di Malaysia dengan lebih mendalam. Pandangan Barat dan Islam terhadap pembangunan ekonomi juga berlainan. Dari pandangan Barat, pembangunan memfokuskan kepada perubahan dari segi luaran atau dalam erti kata lain hanya dari segi kebendaan. Namun, dari pandangan Islam pula, Islam bukan sahaja memfokuskan pembangunan sesuatu tempat namun pembangunan juga memainkan peranan dalam membentuk modal insan. Bagi pendapat saya, sesebuah negara itu tidak boleh dikatakan maju dan bertamadun jika penduduknya tidak maju dari segi insaniah dan moral. Oleh itu, bagi menjamin sebuah negara yang berprestasi tinggi dan produktif dari segi pembangunan dan rakyatnya, kita sebagai rakyat Malaysia hendaklah berusaha dalam memperbaiki cara dan intelektual kita bagi menjadi rakyat minda pertama.

Nama: Anisha Azreen binti Hasmizam
No. Pelajar: 2015229474

Bab Ekonomi telah memberi pencerahan kepada saya tentang perbezaan pembangunan dari perspektif barat dan juga Islam. Islam menitik-beratkan pembangunan moral manakala Barat mementingkan pembangunan material dan bukannya ketinggian budi pekerti. Kumpulan pembentang memberi penerangan tentang isu-isu ekonomi yang telah lama wujud di Malaysia dan bagaimana isu-isu ini tetap tidak berganjak dari dulu, misalnya isu kemiskinan. Ini kerana langkah yang diambil oleh pihak pemerintah dalam membasmi kemiskinan merupakan langkah yang kurang efisien, seterusnya menyebabkan kita dapat melihat jurang ekonomi di antara penduduk bandar dan luar bandar, serta jurang ekonomi antara kaum. Jurang-jurang ini sepatutnya diatasi untuk menggerakkan negara ke arah negara maju pada tahun 2020.

REFLEKSI MINGGUAN (MINGGU 6)

Bab 3: Perlembagaan Persekutuan dan Hubungan Etnik

Nama: Ummi Sahira Binti Abd Halim
No Pelajar: 2015209636

Saya telah mempelajari tentang sistem Mahkamah di Malaysia. Perkara yang tertakluk di bawah perihal agama akan dibicarakan di bawah Mahkamah Syariah dan mahkamah yang paling tinggi di dalam negara ialah Mahkamah Sivil.

Selain itu, ustazah juga telah berkongsi ilmu di mana perbezaan antara orang Melayu dan orang asli (kaum pribumi) ialah orang Melayu menerima dan mengamalakan agama Islam manakala orang asli mengamalakan agama nenek moyang mereka sendiri.

Perlembagaan Madinah juga dibincangkan dalam tajuk ini, di mana timbulnya perbincangan di dalam kelas "bolehkan negara Malaysia membuat perlembagaan berlandaskan agama Islam walaupun masyarakatnya majmuk, terdiri daripada pelbagai bangsa, agama dan kaum?" Jawapannya boleh jika kita mengambil contoh baginda Rasullullah SAW, menulis perlembagaan Madinah yang masyarakatnya terdiri daripada orang Islam dan bukan Islam. Piagam Madinah sangat adil dan diiktiraf di seluruh dunia.


Nama: Nur Iman Athira bt Mohd Amin
No Pelajar: 2015259318

Saya telah mempelajari dan memahami tentang Konsep Ketertinggian Perlembagaan di mana perlembagaan merupakan undang-undang paling tinggi, semua undang-undang juga tidak boleh bercanggah dengan perlembagaan dan jika parlimen menggubal undang-undang yang bercanggah dengan perlembagaan maka ianya secara automatik batal.

Saya juga sedikit sebanyak telah memahami perbezaan orang Melayu dengan orang Asli. Walaupun orang Asli adalah orang asal yang menetap di Malaysia, tetapi orang Melayu merupakan rakyat asal yang menerima agama Islam sejurus menjadikan orang Melayu penduduk tetap negara Malaysia. Selain itu, saya juga memahami erti "Agama Islam sebagai agama rasmi" yang termaktub dalam perlembagaan yang bermaksud segala urusan rasmi seperti upacara angkat sumpah mestilah berdasarkan agama Islam. Agama Islam juga merupakan agama persekutuan yang berperanan di semenanjung Malaysia. 




Nama: Noor Azira Binti Noor Azman
No Pelajar: 2015259246

Pada minggu ini, saya telah mempelajari dengan lebih mendalam tentang Perlembagaan di mana ia ialah undang-undang tertinggi di Malaysia. Piagam Madinah juga telah dibangkitkan di dalam kelas tentang kebolehan Malaysia dalam menguruskan hal rakyat yang berbilang kaum berlandaskan undang-undang Islam seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika zaman pemerintahan baginda. Melalui sesi pembelajaran ini, saya mendapati bahawa adalah penting bagi setiap orang Muslim untuk sentiasa mendalami ilmu agama terutama bagi mereka yang bakal memimpin negara agar tidak berlakunya salah guna kuasa. Sebagai negara yang berbilang kaum juga, rakyat yang bukan beragama Islam hendaklah didedahkan serba sedikit tentang undang-undang Islam agar mereka lebih memahami dan tiada salah fahaman berlaku. 
Selain itu, saya juga telah mempelajari tentang perbezaan penduduk asli dan masyarakat melayu dimana walaupun orang Asli adalah penduduk asal namun orang Melayu adalah masyarakat asal yang memeluk serta menerima Islam.

Nama: Anisha Azreen binti Hasmizam
No. Pelajar: 2015229474

Saya mempelajari dengan lebih lanjut tentang Perlembagaan di Malaysia, dan tentang fasal-fasal penting yang berkaitan dengan hak istimewa orang Melayu dan agama Islam. Saya juga mempelajari tentang konsep Ketertinggian Perlembagaan, yakni segala yang bernaung di bawah Malaysia adalah tertakluk kepada Perlembagaan ini. Sebarang penggubalan undang-undang baharu hendaklah berdasarkan Perlembagaan atau ianya akan terbatal dengan sendiri. Ketika di dalam kelas, kami melaksanakan perbincangan tentang bagaimana Perlembagaan itu sendiri yang menghalang hukum Hudud daripada dilaksanakan, serta banyak undang-undang lain yang boleh mendatangkan banyak manfaat kepada ekonomi, sosial dan pembangunan negara sekiranya dapat dilaksanakan. 

REFLEKSI MINGGUAN (MINGGU 5)

Bab 3: Perlembagaan Persekutuan dan Hubungan Etnik

Nama: Ummi Sahira Binti Abd Halim
No Pelajar: 2015209636

Pada minggu ini, saya telah diperkenalkan dengan konsep perlembagaan dengan lebih mendalam. Jika sebelum ini, saya hanya mengetahui perlembagaan itu adalah undang-undang secara dasarnya sahaja. Setelah dideahkan oleh para pembentang dan ustazah sendiri, saya mengetahui dengan lebih lanjut bahawa perlembagaan itu adalah "surat beranak" satu negara dan corak pemerintahan sesuatu negara itu tertakluk kepada perlembagaan itu sendiri. Malaysia juga dikenali sabagai negara yang mengamalkan konsep Raja Berpelembagaan, dimana perlembagaan memayungi sesebuah negara dan segalah hal ehwal ataupun tindakan yang akan dijatuhkan adalah berbalik kepada perlembagaan.




Nama: Nur Iman Athira bt Mohd Amin
No Pelajar: 2015259318

Semasa minggu ke-5, saya telah mendalami maksud perlembagaan. Perlembagaan merupakan peraturan tentang hak, kuasa dan tanggungjawab. Hak merupakan sesuatu yang boleh dituntut. Setiap orang mempunyai hak dan dalam konteks perlembagaan, pemerintah dan rakyat mempunyai hak tersendiri. Kuasa pula merupakan authoriti seperti polis, mahkamah, tentera. Manakala, tanggungjawab merupakan sesuatu yang harus. Setiap pihak mempunyai tanggungjawab tersendiri.

Sebagai ringkasan, perlembagaan merupakan kelahiran sesebuah negara di mana setiap undang-undang yang lain mestilah berdasarkan perlembagaan yang merupakan undang-undang tertinggi sesebuah negara. Setiap urusan rasmi juga haruslah berpandukan perlembagaan. 





Nama: Noor Azira Binti Noor Azman
No Pelajar: 2015259246

Pada minggu ini, saya telah mempelajari dengan lebih mendalam tentang Perlembagaan Malaysia yang dimana perlembagaan merupakan undang-undang tertinggi negara yang harus dipatuhi oleh semua kuasa di dalam negara. Namun, pabila saya mendalami isi serta kandungan yang tertakluk di dalam perlembagaan, saya telah mendapati terdapat beberapa kekurangan dari segi pengaruh agama. Adalah terbukti di dalam Al-Quran bahawa hukum hudud iaitu hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah Swt adalah yang terbaik. Namun Malaysia masih lagi jauh dalam menjadikan hukum hudud sebagai satu perkara rasmi. Hal ini kerana ada sesetengah kesalahan yang melangaar hukum syariah seperti kes murtad tiada dijelaskan di dalam perlembagaan. Undang-undang sesebuah negara amatlah penting dalam membentuk sebuah negara yang aman damai namun bagi pendapat saya undang undang yang ditetapkan oleh Allah adalah yang terbaik dan seharusnya dijalankan dan diberi pendedahan dengan lebih mendalam kepada seluruh rakyat Malaysia.


Nama: Anisha Azreen binti Hasmizam
No. Pelajar: 2015229474

Para pembentang telah memberi pencerahan tentang maksud perlembagaan dan kepentingan-kepentingan perlembagaan terhadap negara. Tajuk ini pada mulanya agak mengelirukan saya kerana terdapat banyak perkara yang perlu diberi perhatian akan tetapi saya mengingatkan diri saya bahawa segala maklumat dan ilmu yang diperolehi berkaitan dengan perlembangaan dan pemerintahan negara bukanlah sekadar untuk memenuhi pengetahuan peperiksaan sahaja, sebaliknya merupakan tanggungjawab saya kepada negara dan bangsa.

REFLEKSI MINGGUAN (MINGGU 3)

Bab 2: Pluraliti Masyarakat Alam Melayu dalam Sejarah

Nama: Ummi Sahira Binti Abd Halim
No Pelajar: 2015209636

Pada minggu ini, saya telah mempelajari sifat sebenar dengan apa yang dikatakan sebagai Melayu. Melayu dan Islam itu amat berkait rapat dan bukan Melayu lah seseorang jika dilunturkan ke-islamannya. Kumpulan kami juga telah diberi tugas untuk membentangkan tajuk ini. Dengan  bantuan ustazah, pelbagai input telah kami pelajari seperti mengembalikan nilai-nilai ke-Melayuan dan ke-Islaman yang telah diamalkan oleh orang-orang Melayu terdahulu. 

Selepas kedatangan penjajah, kebanyakan sistem dan cara hidup orang Melayu telah dibaratkan. Sebagai contoh, sistem pendidikan yang memisahkan hal dunia dan akhirat. Mengasingkan corak pendidikan merupakan salah satu cara barat. Pengasingan kerja mengikut kaum menurut dasar pecah dan perintah juga telah diperkenalkan barat untuk kepentingan mereka sendiri. 

Akhir sekali, saya dapat membezakan apakah maksud pluraliti, pluralisme dan pluralistik melalui tajuk ini dan mengenal pasti di mana proses proses pluraliti, pluralistik dan pluralisme yang berlaku di Malaysia.

Nama: Nur Iman Athira binti Mohd Amin
No. Pelajar: 2015259318

Kumpulan kami merupakan kumpulan pertama untuk melakukan pembentangan tentang Pluraliti Masyarakt Alam Melayu dalam Sejarah. Saya telah dapat membezakan apakah maksud pluraliti, pluralistik dan pluralisme sebelum dan selepas kemerdekaan. Kami juga telah sedikit sebanyak mengetahui tentang perjuangan pemimpin-pemimpin zaman dahulu dalam memperjuangkan perpaduan antara kaum. Selain itu, sedikit sebanyak juga saya mengetahui tentang kaitan antara Islam dan Melayu.

Nama: Noor Azira binti Noor Azman
No. Pelajar: 2015259246

Kami telah ditugaskan untuk menjadi pembentang pertama bagi tajuk Pluraliti Masyarakat Alam Melayu . Sepanjang pencarian bahan untuk pembentangan kami, saya telah didedahkan dengan lebih mendalam tentang identiti masyarakat Melayu serta pluralistik dan pluralisme yang berlaku sebelum dan selepas kemerdekaan. Sebagai seorang rakyat Malaysia yang tinggal di sebuah negara yang berbilang kaum, adalah penting bagi kita untuk mengamal toleransi antara satu sama lain bagi mengekalkan keamanan dan kesejahteraan yang telah dikecapi oleh nenek moyang yang terdahulu. Saya juga dapat lebih mendalami asal usul negara kita dan berusaha menjadi rakyat yang mampu berbakti kepada negara kelak.



Nama: Anisha Azreen binti Hasmizam
No. Pelajar: 2015229474


Pada minggu ini, kami merupakan kumpulan pertama yang membentang tajuk untuk CTU555 dan tajuk kami ialah Pluraliti Masyarakat Alam Melayu. Banyak ilmu baru yang telah saya perolehi sepanjang usaha mencari bahan untuk pembentangan dan saya telah mempelajari beberapa kata kunci baharu seperti pluraliti dan pluralistik. Walau bagaimanapun, pembentangan kami agak kurang memuaskan kerana kekurangan informasi dan refleksi, tetapi ustazah tidak lelah untuk menerangkan konsep sebenar kepada kami dan rakan-rakan sekelas agar kami mendapat pencerahan sebenar dan memahami konsep ini dengan lebih baik dan mendalam. Perbincangan di penghujung kelas tentang 'sifat sebenar orang Melayu' telah menyedarkan saya bahawa Melayu sebenar bukan sahaja bersifat lemah-lembut tetapi juga beragama Islam. Selama ini saya beranggapan bahawa Melayu hanyalah suatu bangsa di Nusantara, yang terdiri daripada pelbagai agama termasuklah Buddha dan Hindu. Akan tetapi maklumat itu adalah salah dan saya telah mendapat pencerahan daripada ustazah.

REFLEKSI MINGGUAN (MINGGU 2)

Bab 1: Konsep Asas Hubungan Etnik

Nama: Ummi Sahira Binti Abd Halim
No Pelajar: 2015209636

Saya telah mempelajari tentang perjanjian asali di antara Allah Swt dengan manusia. Surah Al-Araf ayat 172 telah menerangkan dengan lebih terperinci tentang isi kandungan perjanjian tersebut. Berdasarkan ayat ini, kebesaran Allah itu amatlah luas dan begitu juga dengan rahmatnya, kerana manusia ini diberikan pilihan untuk memilih apa yang terbaik buat mereka. Sedangkan, Allah itu maha mengetahui segala rahsia yang ada dilangit dan di bumi, tetap juga Allah bertanya "Bukankah Aku tuhan kalian?" untuk menunjukkan tiada paksaan dalam perjanjian ini dan seluruh umat manusia bersetuju seraya besaksi bahawa "Benar (Engkau tuhan kami), kami menjadi saksi". 

Manusia telah berjanji dengan Allah sendiri untuk mengabdikan diri kepada-Nya, tetapi masih umat manusia di akhir zaman lalai dan ingkar akan suruhanNya. Pelabagai bukti azab yang telah dinyatakan di dalam Al-Quran kepada umat terdahulu, sekiranya ingkar tetapi lebih besar rahmat Allah itu kepada hambanya, lebih-lebih lagi umat Rasullullah SAW. Allah menangguhkan azab ke atas diri kita kerana kasihkan kita dan memberi peluang kita bertaubat. Apa yang telah dibincangkan semasa kelas ini berlangsung, kesemuanya peringatan daripada Allah sendiri yang membuatkan saya berfikir tentang betapa tiada nilainya hidup manusia di dunia yang sangat sekejap, berbanding akhirat yang lebih lama dan berharga.




Nama: Nur Iman Athira bt Mohd Amin
No Pelajar: 2015259318

Pengetahuan saya semakin bertambah mengenai alam roh iaitu manusia telah membuat perjanjian azali/asali sebelum kelahirannya yang terkandung di dalam Surah Al A'raf ayat 172-173. Manusia juga adalah satu-satunya makhluk Allah yang mempunyai pilihan berbanding makhluk lain. Kehidupan manusia di dunia ini merupakan jambatan untuk kehidupan yang abadi iaitu di alam akhirat. Dunia ini hanyalah palsu. Paling memeranjatkan ialah apabila saya mendapat tahu bahawa ulama membuat kiraan yang kehidupan di dunia ini hanyalah 2 saat untuk dibandingkan dengan kehidupan di akhirat kelak di mana 1 hari di dunia = 1000 tahun di akhirat. Jadi, sebagai khalifah Allah dan ciptaan-Nya yang paling sempurna, manusia hendaklah melakukan sebanyak mungkin amal kebaikan untuk merapatkan hubungan dengan Allah SWT.



Nama: Noor Azira Binti Noor Azman
No Pelajar: 2015259246

Saya telah mempelajari erti dan maksud Suraf Al A'raf ayat 172-173 di mana ketika di alam roh, manusia telah membuat perjanjian asali di mana mereka telah diberi pilihan untuk memilih Allah SWT dan mereka adalah satu-satunya makhluk Allah yang diberi pilihan untuk memilih yang terbaik. Dengan buktinya kekuasaan Allah SWT, manusia dengan lantas bersetuju lalu mengambil saksi bahawa Allah SWT sebagai Tuhan yang satu. Saya juga telah disedarkan bahawa dunia ini adalah suatu persinggahan di antara alam roh dan akhirat. Kita hendaklah menggunakan masa yang ada di dunia ini bukan untuk keseronokan semata mata namun adalah untuk mempersiapkan diri dalam menghadapi hari tibanya untuk menghadap Allah SWT. Kiraan yang dibuat oleh para ulama untuk waktu di dunia ini adalah seperti 2 saat waktu di akhirat. Waktu di dunia yang terasa sangatlah panjang hanyalah 2 saat waktu di akhirat. Oleh itu, saya telah mencapai suatu kesedaran bahawa kita sebagai makhluk Allah SWT hendaklah sentiasa memperbaiki diri dalam usaha menjadi seorang muslimah yang baik dan diberkati Allah di samping untuk menyediakan bekalan dalam menjalani hari-hari selepas dunia.



Nama : Anisha Azreen binti Hasmizam
No. Pelajar : 2015229474


Alhamdulillah, pada minggu kedua ini saya memperoleh lebih banyak pengetahuan baharu. Ustazah telah memberi penerangan tentang maksud ayat Surah Al-Aaraf ayat 172 dan 173. Di dalam ayat ini Allah S.W.T telah menceritakan tentang perjanjian asali manusia ketika berada di alam roh, di mana Allah telah bertanya kepada manusia "Bukankah aku Tuhan kalian?" dan para manusia telah menjawab 'Ya' dalam keadaan yang sedar rela dan tidak terpaksa. Ini menunjukkan bahawa kuasa Allah SWT sangatlah hebat, namun Allah tetap memberi pilihan kepada kita sama ada untuk menyembah-Nya ataupun tidak. Perjanjian ini telah menyatakan bahawa manusia sendiri yang membuat pilihan untuk menyembah Allah, membuktikan bahawa bukanlah Allah yang memaksa kita untuk menyembahNya . Sebaliknya keputusan yang kita lakukan sejak azali adalah dengan rela dan sedar.

Selain itu kami juga belajar lebih lanjut tentang 5 peringkat hidup manusia, bermula daripada alam roh, alam rahim, alam sekarang, alam barzakh dan juga akhirnya alam akhirat. Alam sekarang hanyalah jambatan ke arah akhirat. Ini membawa kepada tajuk yang sedang kami pelajari iaitu tentang masyarakat, dan pentingnya roh untuk memanusiakan manusia, seterusnya manusia-manuisia inilah yang akan menjadi ahli masyarakat yang berpotensi dan membawa kebaikan secara keseluruhannya terhadap masyarakat itu sendiri. Kami turut belajar tentang ciri-ciri masyarakat.

Monday, 7 March 2016

REFLEKSI MINGGUAN (MINGGU 1)


Nama: Ummi Sahira Binti Abd Halim 

No Pelajar: 2015209636

Pada minggu pertama, saya telah menjalani sesi perkenalan dengan ustazah Mahfuzah dan telah mempelajari tentang adab adab sebelum menuntut ilmu supaya ilmu itu lebih berkat. Selain itu, saya telah diberi taklimat dengan jelas tentang subjek CTU555 dan rangka kerja keseluruhan semester.


Nama: Anisha Azreen binti Hasmizam

No Pelajar: 2015229474

Sewaktu kelas pertama bersama Ustazah Mahfuzah, kami melaksanakan sesi taaruf dan berkenalan dengan Ustazah. Ustazah memberi penekanan terhadap adab-adab menuntut ilmu dan langkah yang boleh kami amalkan untuk memastikan ilmu yang diperolehi berkat. Ustazah juga menerangkan tentang kursus CTU555 dan membahagikan kami kepada kumpulan untuk pelaksanaan tugas di minggu-minggu akan datang.



Nama: Nur Iman Athira bt Mohd Amin

No Pelajar: 2015259318


                Pada 1 Mac 2016, bermulanya kelas bagi subjek CTU 555- Sejarah Malaysia yang diajar oleh Ustazah Mahfuzah binti Mohammed Zabidi. Sebelum memulakan kelas, kami membaca doa dan mempelajari turutan bagaimana untuk membaca doa, berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW bagi mengingati pengorbanan dan kemuliaan Baginda yang merupukan utusan Allah SWT, zikir bagi mengingati kebesaran Allah SWT, beristighfar bagi bermuhasabah diri. Ia merupakan satu perkara yang baik untuk memulakan sesi menimba ilmu yang juga merupakan satu ibadah kerana ia mensucikan dan menerangkan hati agar mudah untuk menerima ilmu serta ilmu tersebut diberkati Allah SWT. Saya juga sedikit sebanyak dapat mengetahui maksud setiap perkataan dalam zikir-zikir yang sememangnya memantapkan lagi kefahaman saya terhadap kekuasaan Allah SWT. 
 Selain itu, ustazah juga telah menceritakan plot tentang perjuangan dan pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. Ustazah telah bertanya kepada kami tentang plot tersebut dan sedikit sebanyak ia telah memberi banyak teknik imbas kembali untuk kami menghargai perjuangan Nabi Ibrahim a.s. Penceritaan tentang kisah Nabi Ibrahim a.s. telah memberikan saya keyakinan yang menyeluruh terhadap ketentuan Allah terhadap setiap hambanya. Sekiranya kita mempunyai keyakinan yang penuh terhadap perancangan Allah SWT, kita akan sentiasa berada dalam keadaan yang tenang. Allah SWT sesungguhnya mengetahui apa yang tidak kita ketahui. Allah SWT juga Maha Mendengar akan rintihan dan kesusahan setiap hambanya.
Kami juga diberi tugasan untuk menyenaraikan beberapa perkara seperti teknik belajar yang berkesan dan tidak berkesan berdasarkan keputusan peperiksaan semester satu kami. Perkara ini memberi saya pencerahan terhadap apa yang boleh saya lakukan untuk memperbaiki kelemahan saya dalam pelajaran dan pencapaian saya. Kami juga menyenaraikan enam perkara yang boleh kami lakukan sebagai manusia dan tugas kami sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Secara tidak langsung, kami juga telah membuat refleksi terhadap diri dengan berazam untuk menjadi pelajar serta insan yang lebih baik terhadap Allah, orang lain serta diri sendiri. 


Nama: Noor Azira Binti Noor Azman

No Pelajar: 2015259246
                 
     Kelas pertama bagi CTU 555 iaitu subjek Malaysian History bersama Ustazah Mahfuzah Binti Mohammed Zabidi telah dimulakan dgn sesi taaruf untuk mengenali satu sama lain dengan lebih mendalam untuk keberkesanan sesi pengajaran pada masa akan datang. Sebelum sesi tersebut dimulakan, kami telah diajar cara membaca doa mengikut turutan yang tertentu serta berselawat ke atas baginda Rasulullah SAW. Ustazah juga membincangkan tentang plot-plot pengorbanan Nabi Ibrahim AS agar kami sebagai pelajar dapat mengambil iktibar berikutan kisah kisah Nabi Ibrahim tentang kekuasaan Allah SWT yang tiada batasannya. Kita sebagai hamba-Nya hendaklah sentiasa redha dan percaya akan ketentuan-Nya bahawa Allah itu sentiasa ada untuk hamba-Nya dan setiap yang ditentukan adalah yang terbaik kerana Allah itu Maha Mengetahui.
      Selain itu, kami juga diminta untuk mencatat serta memikirkan cara untuk membaiki cara pembelajaran yang berkesan untuk waktu pembelajaran yang lebih efektif di masa hadapan.